PENYAKIT KENCING MANIS
Apa Dia Penyakit Kencing Manis
Penyakit ini telah lama diketahui manusia. Beribu-ribu penduduk di negara kita mengidap penyakit ini. Penyakit kencing manis tidak seharusnya menjadi satu penghalang kepada kehidupan yang biasa. Dengan bertambahnya pengetahuan berkenaan penyakit kencing manis dan penghasilan ubat-ubat untuk penyakit ini, tidak ada sebab mengapa anda tidak boleh hidup seperti manusia biasa
Penyakit kencing manis adalah satu keadaan di mana terdapat kadar gula yang berlebihan dalam peredaran darah. Ini terjadi kerana badan kekurangan sesuatu hormon yang dipanggil insulin yang diperlukan untuk menukar gula kepada tenaga dalam badan kita. Insulin adalah sejenis hormon yang dihasilkan oleh organ bernama pancreas yang terletak dibawah perut. Badan kita mengeluarkan tenaga untuk menjalankan tugas harian daripada makanan. Dalam perut, makanan berkanji dan bergula yang dipanggil makanan karbohidrat ditukar kepada bahan gula yang dipanggil glukos dan masuk ke dalam saluran darah di mana ia akan digunakan oleh badan untuk menghasilkan tenaga. Glukos adalah punca utama yang memberi tenaga.
Dalam keadaan biasa, insulin membantu gula (glukos) dalam darah untuk memasuki sel-sel badan untuk ditukarkan kepada tenaga. Bagi orang yang mengidap penyakit kencing manis, organ pancreas tidak dapat menghasilkan hormon insulin dengan secukupnya atau insulin yang dikeluarkan tidak dapat bertindak seperti biasa. Akibatnya, glukos atau gula tidak dapat memasuki sel-sel badan. Kadar gula dalam peredaran darah menjadi tinggi. Gula yang berlebihan ini akan disingkirkan oleh badan melalui air kencing. Inilah sebabnya, penyakit ini dikenali sebagai penyakit kencing manis. Tanpa insulin, sel-sel badan tidak menerima bekalan glukos, walaupun kadarnya amat tinggi dalam peredaran darah. Ini menyebabkan badan akan kekurangan tenaga.
Siapakah pengidap penyakit kencing manis ?
Sesiapa pun boleh mendapat penyakit ini.Tetapi mereka yang datang daripada keluarga atau keturunan di mana terdapat ahli-ahli yang mengidap penyakit kencing manis sudah meningkat umur (40 tahun ke atas) mempunyai berat badan berlebihan atau gemuk mempunyai risiko yang lebih untuk mendapat kencing manis
Apakah rawatan untuk penyakit kencing manis ?
Sebelum tahun 1921, tiada ubat-ubat tertentu untuk merawat penyakit ini. Pada masa ini terdapat ubat-ubat untuk mengawal penyakit kencing manis dan ini memberi peluang kepada pengidap-pengidap penyakit ini untuk meneruskan kehidupan yang biasa. Rawatan untuk penyakit kencing manis adalah melalui kawalan pemakanan.
Makanan yang anda makan memainkan peranan yang penting dalam kawalan penyakit kencing manis. Adakalanya, kes-kes yang tidak teruk, dapat diakwal melalui jagaan makanan sahaja.
Ubat
Selain daripada kawalan pemakanan, kebanyakan pesakit memerlukan ubat untuk mengawal penyakit mereka. Ubat-ubat ini terdiri daripada suntikan insulin.Insulin boleh diberi melalui suntikan sahaja kerana ia akan dimusnahkan di dalam perut jika dimakan
Pil
Ubat-ubat ini membantu badan menggunakan gula dengan sempurna dan dengan itu dapat mengawal penyakit ini.
Ada pula pesakit-pesakit yang memerlukan suntukan insulin sementara pesakit-pesakit lain pula boleh mengawal penyakit mereka dengan memakan pil. Doktor anda, setelah menjalankan pemeriksaan terhadapa anda, akan menentukan samaada anda memerlukan suntikan insulin atau pil dalam rawatan anda. Kes penyakit kencing manis anda mungkin tidak sempurna dengan kes orang lain dan oleh itu rawatan yang ditentukan oleh doktor anda mungkin tidak serupa dengan rawatan untukpesakit lain. Doktor akan menentukan rawatan mengikkut keadaan penyakit seseorang.
Rawatan awal adalah penting.
Menyembuhkan tanda-tanda dan gejala kencing manis
Menggelakkan atau mengurangkan akibat-akibat buruk yang berlaku jikalau penyakit ini melarat
Membolehkan pesakit hidup dalam kehidupan biasa dan bahagia
Ubat
Patuhilah nasihat doktor anda mengenai ubat-ubat yang anda perlu ambil
Jangan berhenti mengambil ubat kerana anda merasa sihat dan berfikir bahawa ubat itu tidak perlu lagi. Berhenti mengambil ubat tanpa nasihat daripada doktor anda adalah sangat merbahaya kerana ini boleh mengakibatkan penyakit anda melarat disebabkan tidak dikawal dengan sempurna
Jangan lupa untuk pergi ke hospital atau klinik pada masa yang ditetapkan untuk pemeriksaan doktor
Pemeriksaan dari masa ke semasa termasuk ujian air kencing dan darah adalah sangat penting dalam rawatan dan kawalan kencing manis
Makanan
Seperti yang disebutkan tadi, kawalan makanan sangat penting dalam rawatan penyakit kencing manis
Patuhilah nasihat doktor anda mengenai makanan
Makanan harian yang anda patut makan bergantung kepada beberapa faktor seperti berat badan, umur, pekerjaan dan aktiviti yang dilakukan oleh anda dan keadaan penyakit anda. Adalah mustahak bahawa makanan harian mestilah seimbang iaitu, mengandungi semua bahan-bahan yang diperlukan oleh badan anda untuk kesihatan dan juga memberi tenaga untuk menjalankan tugas harian
Panduan makanan
Makanan yang patut dielakkan
Gula
Gula melaka
Coklat
Jem
Madu
Sirap
Aiskrim
Biskut-biskut yang manis
Susu pekat
Minuman ringan
Gula-gula jeli
Makanan yang patut dikurangkan
Nasi
Roti
Ubi kentang
Ubi keledek
Ubi kayu
Jus
Kelapa
Daging kambing
Buah-buahan jeruk
Bahan-bahan tenusu
Makanan yang boleh dimakan dengan bebas
Serbuk lada
Rempah-rempah
Serbuk kari
Cecair – air,the, kopi,jus tomato dan limau, sup cair
Sayur-sayuran – kacang panjang, kobis, bawang, timun, lobak merah, kangkong, sawi,cendawan, bayam,tomato,bunga kobis, kacang bendi,terung, ketola.
Penjagaan berat badan
Penyakit kencing manis berlaku dengan lebih kerap di kalangan orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan. Didapati bahawa tindakan insulin berkesan dalam orang yang gemuk
Amatlah penting bagi pengidap kencing manis untuk sentiasa ,menjaga berat badan. Kalau berat badan turun, badan dapat menggunakan gula dalam darah dengan lebih sempurna dan dengan itu, kadar gula dalam darah akan turun
Kalau anda gemuk
Kurangkan makanan !
Terutama makanan yang terlalu banyak karbohidrat dan lemak
Bersenamlah selalu
Senaman
Cuba melakukan senaman setiap hari seperti berjalan dan berkebun
Senaman yang dilakukan secara teratur adalah sangat baik untuk penyakit kencing manis kerana ini dapat menambahkan lagi pembakaran gula dalam otot-otot dan dengan itu mengurangkan kandungan gula dalam darah. Pengaliran darah juga bertambah baik
Perkara untuk diawasi : kalau anda kurang aktif dan sudah lama tidak bersenam, dapatkan nasihat doktor anda sebelum memulakan apa-apa senaman
Mengelakkan jangkitan
Pesakit kencing manis lebih mudah mendapat jangkitan daripada orang biasa. Oleh itu, anda perlu menjaga diri sendiri melalui langkah-langkah tersebut :
Selalu menjaga kebersihan diri
Tiap-tiap hari, cucikan kaki dan jari-jari kaki dengan menggunakan sabun dan air, keringkan kaki dan sapukan bedak
Mandilah selalu
Sapukan bedak di bahagian-bahagian kulit yang berpeluh berlebihan
Jaga kebersihan gigi
Menjauhkan diri dari kecederaan
Jangan berjalan tanpa kasut atau selipar
Berhati-hatilah semasa memotong kuku jari dan jari kaki
Bersih dan balutkan mana-mana luka yang ada
Berhati-hati semasa bercukur
Penjagaan kaki
Kalau peredaran darah di bahagian kaki anda tidak dapat mengalir dengan sempurna atau diganggu, ini boleh membawa akibat yang buruk dan mungkin boleh menghilangkan kaki anda disebabkan oleh jangkitan yang melarat. Oleh itu, sentiasa perlu menjaga kaki anda
Jangan menyilangkan kaki anda semasa duduk pada suatu masa yang lama
Jangan pakai kasut yang ketat
Sentiasa urutkan kaki anda
Tiap-tiap hari, berbaringlah dengan meletakkan kaki di paras yang lebih tinggi dari badan anda untuk beberapa minit
Apakah bahaya kalau penyakit kencing manis tidak dirawat atau dikawal dengan baik.
Penyakit ini akan melarat sehingga mendatangkan akibat-akibat buruk seperti :-
Buta
Kerosakan buah pinggang
Sakit jantung dan penyakit lumpuh
Darah tinggi
Penyakit saraf
Ini boleh mengakibatkan pesakit hilang deria di bahagian kaki dan tangan. Ia tidak dapat merasai sakit, panas dengan itu boleh mencederakan diri sendiri tanpa disedari
Jangkitan yang menyebabkan Gangrene (tisu-tisu mati) yang boleh mengakibatkan kehilangan kaki
Tidak sedarkan diri
Kalau tidak dirawati dengan serta merta, pesakit boleh maut
Anda boleh mengelakkan akibat-akibat buruk ini kalau anda menjaga diri anda dengan baik
Mengidap penyakit kencing manis tidak bermakna anda hidup seperti dipenjarakan
Kalau anda ikut langkah-langkah dalam rawatan dan kawalan penyakit ini, anda boleh menikmati kehidupan yang penuh dan bahagia
Kawal penyakti kencing manis untuk menikmati kehidupan yang bahagia dan sihat
Terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia
PENYAKIT KENCING MANIS
Kencing Manis
Klik Untuk Versi Bahasa Inggeris
Penyakit kencing manis juga dikenali sebagai diabetes mellitus. Penyakit ini ialah suatu keadaan yang mana terdapatnya ketiadaan atau kekurangan penghasilan insulin, atau badan bersifat rintang terhadap insulin. Insulin ialah suatu hormon yang dihasilkan oleh pankreas. Insulin berfungsi untuk meningkatkan penyimpanan karbohidrat, lemak dan protein. Ia bertanggungjawab untuk proses glikogenesis, iaitu penukaran glukosa kepada glikogen dalam hati dan otot. Insulin juga menyebabkan lipogenesis, iaitu pembentukan trigliserida dan lemak. Ia juga menghalang pemecahan lemak dan meningkatkan penghasilan glukosa dalam hati.
Untuk Informasi Lanjut, Sila Klik Sini.....
Diabetes Primer
Diabetes Sekunder
Simptom / Gejala
Rawatan
Pemakanan
Senaman
Insulin
Tablet anti-diabetes
Hipoglisemia
Komplikasi
Komplikasi Kesan akhir
Pengawalan paras glukosa darah
Pemantauan glukosa darah
Keperluan penjagaan diri pesakit kencing manis
Penjagaan kulit
Penjagaan kaki
Penjagaan mata
Pesakit kencing manis haruslah:-
Penjagaan dental (gigi)
Penyakit kencing manis juga boleh dikelaskan kepada:
Diabetes Primer
Jenis I (IDDM)
Jenis ini dikenali sebagai Diabetes Mellitus Bergantung Insulin kerana insulin yang dihasilkan oleh badan adalah sangat rendah dan tidak mencukupi untuk keperluan badan. Bentuk ini lebih kerap ditemui dalam kanak-kanak dan remaja. Hanya 10% daripada pesakit kencing manis yang berusia lebih daripada enam puluh lima tahun menghidapi penyakit kencing manis jenis ini. Keadaan ini boleh dirawat dengan pengawalan pemakanan dan melalui suntikan insulin.
Jenis II (NIDDM)
Jenis ini juga juga dikenali sebagai Diabetes Mellitus Tak Bergantung Insulin. 90% daripada kes penyakit kencing manis tergolong dalam jenis ini. Dalam Diabetes Jenis II, pankreas menghasilkan insulin yang tidak mencukupi. Ia biasanya berlaku dalam orang yang berusia lebih daripada 40 tahun. Sebilangan besar pesakit (lebih kurang 85%) adalah gemuk. Keadaan ini biasanya bersifat keturunan. Rawatan biasanya terdiri daripada pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat. Sesetengah pesakit juga memerlukan suntikan insulin.
Diabetes Sekunder
Penyakit kencing manis ini disebabkan oleh penyakit pankreas yang lain, peningkatan permintaan terhadap fungsi pankreas yang tidak normal, seperti dalam penyakit kencing manis semasa mengandung, dan yang disebabkan oleh ubat dan toksin. Lebih kurang 20 hingga 25% wanita yang mengalami diabetes gestasi, atau penyakit kencing manis semasa mengandung, akan mengalami penyakit kencing manis apabila usia mereka telah meningkat. Rawatan bagi diabetes gestasi adalah melalui pengawalan pemakanan sahaja atau pengawalan pemakanan dan pengambilan ubat.
Simptom / Gejala
Simptom-simptom yang paling biasa ialah:
v Kerap membuang air kencing
v Sentiasa berasa dahaga
v Selera makan meningkat
v Letih
v Hilang berat badan
v Jangkitan kulit yang kerap, misalnya jangkitan kulat pada kawasan kemaluan
v Luka yang lambat sembuh
v Kadang-kadang penglihatan menjadi kabur
Kebanyakan orang mempunyai satu atau lebih simptom tetapi ada orang yang tidak mempunyai sebarang simptom.
Rawatan
Penyakit kencing manis biasanya ia merupakan suatu penyakit seumur hidup. Tujuan rawatan untuk penyakit kencing manis ialah untuk melegakan simptom dan mengembalikan paras gula darah kepada paras normal dan untuk mencegah komplikasi. Penyakit kencing manis yang dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan buah pinggang, mata, kaki dan kulit. Cara mengawal penyakit kencing manis termasuklah pemakanan, penjagaan berat badan, senaman dan ubat.
Pemakanan
Pengawalan pemakanan adalah penting untuk mengawal diabetes. Pemakanan yang betul bukan setakat mengelakkan makanan dan minuman yang manis sahaja.
v Pesakit kencing manis harus makan 3 kali sehari setiap hari pada masa yang
ditetapkan. Pesakit tidak patut tertinggal masa makan.
v Makanan yang mengandungi kandungan fiber yang tinggi seperti roti jagung, mi,
oat, biskut kraker yang tidak dimaniskan, chickpea, lentil dan sayur-sayuran harus
diambil.
v Makanan yang mengandungi kandungan gula yang tinggi, misalnya gula yang telah
diproses, coklat dan madu harus dielakkan.
v Pengambilan lemak tepu harus dikekalkan pada paras minimum kerana
peningkatan pengambilan lemak akan meningkatkan risiko serangan penyakit
jantung. Elakkan daripada
menggorengmakanan, sebaliknya, pangganglah makanan anda.
v Pengambilan garam dan makanan yang masin harus dikurangkan. Elakkan
makanan seperti kerepek dan kacang tanah.
v Makanan pesakit kencing manis harus dirancang terlebih dahulu. Makanan haruslah
seimbang dan kandungan kalori dalam makanan haruslah tetap. Ini bertujuan untuk
memastikan terdapat beban glukosa yang tetap untuk dikendalikan oleh badan.
v Pengambilan kalori yang terkawal adalah baik untuk mengekalkan berat badan yang
normal.
v Pengambilan alkohol perlu dikekalkan pada paras minimum atau dielakkan kerana
alkohol akan mengubah paras glukosa darah.
Pesakit kencing manis harus mengamalkan pemakanan yang seimbang. Mereka boleh memakan makanan yang dimakan oleh seisi keluarga, tetapi dalam jumlah yang sederhana, dan mengelakkan gula-gula dan makanan manis yang lain. Mereka tidak perlu membeli ‘makanan diabetes’ yang khas kerana makanan ini adalah mahal dan tidak membawa banyak manfaat. Selain itu, terdapat formula nutrisi yang khas untuk pesakit kencing manis yang tidak dapat mematuhi gaya pemakanan yang disyorkan. Walau bagaimanapun, adalah penting untuk mengingat bahawa pemakanan yang sihat ialah kunci kepada diet seorang pesakit kencing manis.
Senaman
Lebih kurang 50% daripada pesakit kencing manis dengan diabetes jenis II mempunyai berat badan yang terlalu tinggi. Adalah penting untuk mengekalkan berat badan yang ideal dengan senaman yang konsisten. Senaman membolehkan insulin untuk bertindak dengan lebih baik dan mengekalkan badan yang cergas dan pesakit menjadi lebih sihat. Senaman yang ideal bagi pesakit kencing manis harus dirancang selepas berjumpa dengan doktor, supaya komplikasi seperti hipoglisemia (kurang gula darah) dapat dielakkan. Berundinglah dengan doktor yang merawat pesakit itu sebelum memulakan sebarang program senaman.
Insulin
Insulin ialah ubat pilihan bagi diabetes jenis I. Insulin mula dihasilkan untuk rawatan penyakit kencing manis pada tahun 1921. Pada masa itu, bentuk insulin yang ada cuma jenis bovin (daripada lembu) dan porsin (daripada khinzir). Kini, terdapat bentuk sintetik yang serupa dengan insulin yang dihasilkan dalam badan. Insulin ini dihasilkan daripada yis dan bakteria. Insulin hanya diberikan melalui suntikan kerana ia boleh dimusnahkan dalam perut jika diberi melalui mulut. Doktor akan menentukan jenis ubat yang perlu diambil. Sekiranya insulin diberikan, doktor akan merancang program rawatan yang khas untuk setiap pesakit. Pengkelasan insulin adalah berdasarkan:
v Masa mula tindak (ia berkaitan dengan kelajuan serapan insulin ke dalam aliran
darah).
v Kesan puncak. Masa insulin mencapai kesan maksimum.
v Jangka masa tindak. Tempoh masa insulin bertindak.
Tablet anti-diabetes
Tablet ini tidak mengandungi insulin tetapi mengandungi ubat yang merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak insulin, atau membantu sel untuk menggunakan insulin yang sedia ada dengan lebih berkesan. Selepas mula mengambil ubat, doktor harus diberitahu sekiranya terdapat sebarang kesan samping seperti serangan paras gula darah rendah, cirit-birit atau ruam. Terdapat beberapa kelas ubat anti-diabetes, iaitu:
v Sulfonilurea – ubat ini merangsang pankreas untuk menghasilkan lebih banyak
insulin. Misalnya chlorpropamide, glibenclamide, glipizide.
v Ubat lain yang merangsang pengeluaran insulin – ubat ini seperti repaglinide
merangsang pankreas untuk menghasilkan insulin tetapi adalah terutamanya
berkesan untuk mencegah paras glukosa yang tinggi selepas makan kerana ubat
ini bertindak dengan cepat dan dimetabolismakan dengan cepat.
v Biguanid – ubat ini mengurangkan penghasilan glukosa dalam hati dan juga
menjadikan tisu lebih sensitif terhadap insulin, contohnya metformin.
v Thiazolidinedion – ubat ini meningkatkan sensitiviti insulin dengan mengaktifkan
gen-gen tertentu yang terlibat dalam pembentukan lemak dan metabolisma
karbohidrat. Misalnya, troglitazone, rosiglitazone
v Perencat alfa-glukosaidase – ubat ini mengurangkan penyerapan glukosa dalam
usus kecil. Misalnya acarbose.
Hipoglisemia
Hipoglisemia atau serangan akibat paras glukosa darah yang rendah boleh berlaku ketika menjalani rawatan penyakit kencing manis. Keadaan ini biasanya berlaku kerana:
v Makan terlalu sedikit.
v Masa makan yang tidak tetap.
v Terlalu banyak insulin atau ubat anti-diabetes
v Tidak mengambil makanan yang mencukupi sebelum bersenam atau senaman yang terlalu
berat.
v Penyakit misalnya cirit-birit
Penyesuaian pada rawatan dibuat adalah amat bergantung kepada gaya hidup pesakit. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan paras glukosa darah daripada jatuh sehingga di bawah paras normal dan mencetuskan serangan hipoglisemia.
Simptom
Simptom hipoglisemia adalah:
v Kurang tumpuan atau pemikiran yang keliru
v Mudah marah
v Pening
v Loya dan lemah
v Berpeluh, pucat dan kulit yang sejuk
v Penglihatan yang kabur
Rawatan ialah pengambilan gula dalam bentuk tablet glukosa, gula-gula atau minuman manis melalui mulut dengan serta-merta. Masa pemulihan biasanya adalah amat cepat. Walau bagaimanapun, sekiranya simptom itu masih ada, pesakit harus dibawa ke hospital dengan cepat untuk rawatan secepat mungkin.
Komplikasi
Semua bentuk diabetes, jika tidak dikawal, boleh mengakibatkan komplikasi yang melibatkan beberapa organ dan bahagian tubuh. Antara komplikasi yang paling teruk adalah komplikasi yang melibatkan buah pinggang, mata dan salur darah. Adakalanya, pengesanan awal adalah sukar kerana sesetengah komplikasi tidak mempunyai simptom yang nyata pada tahap awal.
Komplikasi Kesan akhir
Retinopati Penglihatan yang terjejas dan boleh mengakibatkan mata menjadi buta. Neuropati Kerosakan saraf yang boleh menyebabkan rasa sakit atau kehilangan deria pada tangan dan kaki. Komplikasi mungkin memerlukan amputasi (pemotongan) kaki. Pergerakan salur pencernaan terganggu dan boleh menyebabkan cirit-birit dan/atau sembelit. Nefropati Penyakit buah pinggang yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dan kematian awal. Kecederaan salur darah besar Kecederaan ini boleh mengakibatkan serangan jantung, strok atau kekurangan bekalan darah ke anggota bawah. Adalah sangat penting untuk mengawal penyakit kencing manis. Seseorang pesakit kencing manis boleh mengalami lebih daripada satu komplikasi sekiranya penyakitnya tidak dikawal untuk jangka masa yang lama.
Pengawalan paras glukosa darah
Dalam pesakit kencing manis, pemantauan berkala paras glukosa darah adalah penting, kerana ini akan menunjukkan sama ada rawatan adalah mencukupi atau perlu diperbetulkan. Paras glukosa darah selepas berpuasa bagi orang yang tidak menghidapi penyakit kencing manis adalah di antara 4 dan 6.6 mmol glukosa per liter. Walau bagaimanapun, paras sehingga 7.8 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras glukosa darah pos-prandial (selepas makan) sehingga 10 mmol/L adalah paras yang boleh diterima. Paras di bawah 4 mmol/L menunjukkan paras glukosa darah yang rendah. Dengan nilai yang begitu rendah, biasanya simptom hipoglisemia hadir pada orang itu. Ujian toleransi glukosa boleh dilakukan setelah mengukur paras glukosa darah selepas berpuasa. Ujian darah dilakukan 2 jam selepas meminum suatu larutan glukosa yang pekat. Dalam orang yang normal, terdapat peningkatan glukosa darah pada mulanya dan paras ini akan kembali menjadi normal dalam masa 2 jam. Dalam pesakit kencing manis, terdapat peningkatan yang tinggi pada mulanya dan paras ini kekal tinggi (11.1 mmol/L atau lebih) selepas 2 jam. Satu ujian lain yang boleh dilakukan ialah pengukuran HBA1c atau ‘ujian hemoglobin terglikosilat’. Ujian ini menunjukkan paras glukosa darah bagi 6 hingga 8 minggu sebelum ujian itu dilakukan. Ia memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing manis bagi tempoh masa yang lebih lama berbanding dengan paras glukosa darah yang hanya memberikan petunjuk bagi kawalan penyakit kencing manis pada masa ujian.
Pemantauan glukosa darah
Paras glukosa dalam badan boleh ditentukan melalui ujian air kencing. Walau bagaimanapun, ujian darah memberikan nilai yang lebih tepat. Paras glukosa darah boleh diuji di rumah dengan menggunakan meter glukosa darah yang mudah. Doktor atau ahli farmasi anda boleh dihubungi bagi mendapatkan nasihat mengenai jenis meter dan cara menggunakan meter tersebut. Ujian glukosa darah adalah sangat mudah. Pesakit kencing manis disyorkan untuk menguji darah mereka secara berkala 2-3 kali seminggu atau pada bila-bila masa pesakit mengalami simptom hipoglisemia. Bacaan harus direkodkan dan ditunjukkan kepada doktor semasa lawatan ke klinik yang seterusnya. Sekiranya pada bila-bila masa didapati bahawa bacaan adalah terlalu tinggi atau terlalu rendah, pesakit harus berjumpa dengan doktor yang akan memberikan nasihat mengenai cara-cara untuk mengekalkan paras glukosa darah di dalam had normal dengan membetulkan ubat, diet atau program senaman.
Keperluan penjagaan diri pesakit kencing manis
Pesakit kencing manis perlu mengikuti diet yang dirancang khas dan program senaman serta mengambil ubat yang diberikan mengikut masa. Selain itu, disebabkan pesakit kencing manis mudah mendapat komplikasi tertentu, mereka harus mengambil langkah berjaga-jaga. Tumpuan khas harus diberikan kepada kawasan yang paling bermasalah iaitu kulit, kaki, mata dan gigi.
Penjagaan kulit
Pesakit kencing manis perlu menjaga kulit mereka dengan baik kerana mereka mudah mendapat jangkitan kulit. Mereka haruslah sentiasa menjaga kebersihan kulit. Luka kecil atau calar sahaja pun perlu diberikan tumpuan segera dan dirujuk kepada doktor sekiranya tidak pulih. Langkah-langkah yang perlu diambil adalah:
v Gunakan agen pembersih yang bersifat asid, dengan pH 5.5. Ini memastikan fungsi
perlindungan kulit yang semula jadi dikekalkan.
v Agen pembersih perlulah lembut, kerana agen pembersih yang kuat akan menyebabkan
iritasi kulit.
v Gunakan air suam untuk mencuci.
v Agen pembersih yang beralkali haruslah dielakkan, terutamanya jika kulit adalah gatal atau
terdapat inflamasi.
v Elakkan daripada menggaru kulit kerana kulit yang pecah akan menggalakkan jangkitan.
v Semasa mandi, berikan tumpuan kepada kawasan ketiak, kemaluan dan kelengkang,
lipatan kulit dan kawasan di antara jari kaki.
v Selepas mandi, elakkan kekeringan kulit dan gunakan losen pelembap untuk mengekalkan
kelembapan kulit.
Penjagaan kaki
Pesakit kencing manis harus menjaga kaki mereka dengan baik kerana mereka mungkin tidak merasai sebarang luka atau ulser disebabkan oleh kekurangan deria di kawasan itu.
v Pesakit kencing manis harus membersihkan kaki mereka setiap hari dan mengeringkan
kaki dengan sempurna, khususnya kawasan di antara jari kaki.
v Bagi kekeringan kulit, pesakit kencing manis haruslah membubuhkan sedikit krim
pelembap.
v Kuku jari kaki harus dipotong lurus untuk mengelakkan kecederaan kepada kulit.
v Kasut haruslah selesa dan tidak terlalu ketat. Pesakit kencing manis haruslah memastikan
bahagian dalam kasut bebas daripada sebarang gerigit atau objek kecil sebelum memakai
kasut.
v Kaki haruslah diperiksa setiap hari bagi luka, calar atau ulser.
v Jangan membubuh sebarang agen kimia pada kaki seperti plaster ketuat atau pembuang
kalus (kulit tebal pada kaki)
kerana bahan-bahan ini mengandungi asid yang boleh menyebabkan iritasi kulit yang seterusnya boleh menyebabkan ulser.
Penjagaan mata
Penyakit mata seperti katarak, glaukoma dan kebutaan akibat retinopati adalah lebih kerap berlaku dalam pesakit kencing manis. Terdapat kejadian katarak yang lebih tinggi di kalangan pesakit kencing manis dan perkembangan penyakit adalah lebih cepat. Glaukoma, yang juga biasa berlaku pada pesakit kencing manis, harus didiagnos awal. Rawatan cepat dapat meminimakan kerosakan pada saraf optik dan kehilangan penglihatan. Salah satu daripada penyebab utama kebutaan dalam pesakit kencing manis ialah retinopati. Semakin lama seseorang pesakit menghidapi penyakit kencing manis, dan terutamanya jika tidak dirawat dengan betul atau dikawal, risiko retinopati diabetik meningkat.
Pesakit kencing manis haruslah:-
v Pergi menjalani pemeriksaan kesihatan setiap tahun.
v Memeriksa tekanan darah secara berkala.
v Berjumpa dengan pakar mata sekiranya terdapat sebarang masalah penglihatan.
Penjagaan dental (gigi)
Pesakit kencing manis harus berjumpa dengan doktor gigi sekali setiap enam bulan. Sebarang luka atau lesi dalam mulut termasuklah penyakit gusi harus dikenalpasti dan rawatan harus diberi dengan cepat. Sebaik sahaja seseorang didapati menghidapi penyakit kencing manis, dia seharusnya mengubah gaya hidupnya dan lebih bertanggungjawab terhadap kesihatan dirinya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar